
Hak asasi manusia seharusnya bersifat positif, asas dan boleh dicapai/positive, essential and attainable—bukan bersyarat, bukan boleh dirunding, dan bukan hanya untuk mereka yang berkedudukan selesa dari segi politiknya. Hak-hak ini merupakan jaminan yang menjadikan kehidupan bermakna: tempat berteduh, akses kepada makanan dan air bersih, kebebasan daripada ketakutan, serta hak untuk hidup bermaruah. Hak asasi bukannya ideal abstrak. Ia membentuk kelangsungan hidup seharian. Ia menyatukan kemanusiaan merentasi bangsa, kepercayaan, jantina dan latar belakang. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, hak kepada keselamatan, kebebasan bersuara dan penyertaan dalam kehidupan awam bukanlah keistimewaan—ia adalah keperluan asas kepada keadilan.
Namun hari ini, prinsip-prinsip ini sedang dihancurkan secara sistematik oleh negara China sendiri.
Sejak tahun 2017, kerajaan China telah melaksanakan dan menggandakan kempen penindasan besar-besaran terhadap umat Islam Uyghur di wilayah Turkistan Timur, atau apa yang dinamakan China sebagai Xinjiang sebagai bahagian daripada usaha kolonialnya. Dokumentasi yang berwibawa daripada wartawan, pakar undang-undang dan organisasi hak asasi manusia menunjukkan berlakunya penahanan beramai-ramai di kem konsentrasi yang dinamakannya pusat “pendidikan semula”, buruh paksa, pemusnahan kehidupan agama dan budaya, pengawasan digital yang mencerobohi privasi, pemisahan keluarga secara paksa serta dasar pencegahan kelahiran yang bersifat paksaan. Semua ini bukan pelanggaran hak asasi manusia terpencil. Ia membentuk satu sistem penguasaan dan kawalan yang tersusun.
Di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), tindakan-tindakan ini memenuhi ciri-ciri undang-undang sebagai jenayah terhadap kemanusiaan—termasuk pemenjaraan secara sewenang-wenangnya, penyeksaan, penganiayaan, kehilangan secara paksa dan perbuatan tidak berperikemanusiaan lain yang dilakukan secara meluas dan sistematik terhadap masyarakat awam. Malah, beberapa kerajaan dan badan perundangan antarabangsa turut menegaskan bahawa tindakan China ini berkemungkinan besar memenuhi takrif jenayah genosid di bawah Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berdasarkan bukti niat untuk memusnahkan Uyghur sebagai satu kumpulan agama dan etnik melalui pemandulan paksa, pemisahan kanak-kanak, serta pemusnahan identiti agama dan budaya.
Namun, kebertanggungjawaban masih gagal ditegakkan.
Walaupun jenayah ini berlaku dalam skala yang begitu besar dan serius, tindak balas antarabangsa kekal lemah dan terpecah-pecah. Kenyataan diplomatik, sekatan terhad dan laporan siasatan belum diterjemahkan kepada tekanan global yang benar-benar tegas dan menyatakan hasil. Kepentingan ekonomi, pakatan politik dan ketakutan kepada tindakan balas seringkali mengatasi kewajipan undang-undang serta tanggungjawab moral. Undang-undang antarabangsa diwujudkan tepat untuk menghadapi saat seperti ini—namun ia diketepikan ketikamana ia paling diperlukan.
Hak asasi manusia tidak hanya hidup di bilik mahkamah atau dalam perjanjian antarabangsa. Ia hidup dalam pilihan seharian: memilih untuk bersuara ketika diam lebih selamat, memilih solidariti berbanding keselesaan, memilih keadilan berbanding keuntungan. Tindakan-tindakan terpencil dan kelihatan sedikit ini hanya menjadi berkuasa apabila ia bersatu dalam gerakan kolektif—melalui masyarakat sivil, institusi antarabangsa dan gerakan massa yang enggan berpaling daripada kebenaran.
Namun, kita tidak boleh berhenti berharap. Sejarah membuktikan bahawa sistem penindasan yang paling kukuh sekalipun boleh dicabar dan digoyahkan apabila kerajaan, institusi dan rakyat awam memilih untuk berani berbanding diselubungi ketakutan. Masa depan mesti dibina atas kebenaran bahawa kebebasan dan hak asasi manusia bukanlah hadiah yang diberikan oleh negara—tetapi hak yang lahir bersama setiap insan sejak kelahirannya. Ia tidak diperoleh melalui kesetiaan, bangsa, agama atau kuasa; ia adalah milik semula jadi kemanusiaan sejagat. Berdiri bersolidariti bersama Uyghur bukanlah satu bentuk ihsan—ia adalah satu kewajipan. Kerajaan mesti bertindak, institusi mesti menguatkuasakan undang-undang, dan manusia di seluruh dunia mesti menolak sikap tidak peduli kepada derita dan kezaliman terhadap Uyghur ini. Dunia yang adil masih mungkin wujud, tetapi hanya jika manusia memilih untuk mempertahankannya—bersama-sama.
Krisis Uyghur bukan sekadar tragedi serantau. Ia adalah ujian kepada keabsahan undang-undang dan moral paling besar bagi generasi kita. Jika genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan boleh berlaku di hadapan mata dunia tanpa sebarang akibat dan pertanggungjawaban, maka janji “Never Again/tidak akan berulang lagi” hanya tinggal slogan kosong.
Tindakan China menuntut lebih daripada sekadar kebimbangan.
Ia menuntut kebertanggungjawaban.
Kerana berdiam diri dalam menghadapi jenayah sebesar ini bukan sikap berkecuali.
Ia adalah persubahatan.
***
Disediakan oleh Unit Kajian, Pusat Kajian Uyghur-Malaysia.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara
